............................................................................................................................................................
Sekolah Rendah Kebangsaan Pulau Nyior, 6
Delima.
"Terima
kasih cikgu!" jerit ketua kelas di ikuti sahutan anak buah kelas 6 delima.
"Jangan lupa hantar latihan yang saya bagi ni hari Ahad minggu depan"
arah Puan Mazlina lagi yang merupakan guru subjek Bahasa Malaysia. "Jom
kita makan. Fiyah, awak tak nak makan ke?" soal Munirah sahabat baik Awfiyah
di sekolah. "Tak pa lah. Awak semua pergilah makan. Saya masih kenyang
lagi. Tadi dah sarapan banyak kat rumah." jawab Fiyah. "Okay kita
orang pergi dulu. Bye -bye." Munirah dan sahabat yang lain berlalu pergi.
Setelah yakin kelas 6 Delima kosong. Fiyah bangun lalu keluar menuju ke
belakang kelas. Di belakang kelas 6 delima terdapat sebatang air paip. Jika Fiyah
tidak mempunyai wang untuk makan waktu rehat air paip inilah yang di telan
untuk mengisi kekosongan perutnya. Gelagatnya ini sering di perhatikan oleh
Ustazah Aisyah. Menjadi tanda tanya kepada Ustazah Aisyah akan perkara itu.
Sedang asyik Fiyah menelan air paip sebagai pengisi perut yang lapar dia disapa
oleh ustazahnya. "Assalamualaikum Fiyah." Fiyah terkejut apabila ada
suara menyapanya. "Waa..Waa..Waalaikumussalam. Err ustazah." tersekat
sekat salam di jawab. "Ustazah selalu nampak awak kat belakang ni
sorang-sorang. Kenapa awak tak rehat sekali dengan kawan awak?" soal
Ustazah Aisyah. "Saya.. saya.. saya tak lapar saya nak kumur mulut
ja." tipu Fiyah. "Hurm? betul ke kamu kumur mulut je? Tak kan kumur
mulut punya lama? Dah tu tiap-tiap kali waktu rehat kamu datang sini. Tak baik
tipu ustazah Fiyah. Allah tak suka orang menipu." acah ustazah untuk
mengetahui perkara sebenar. "Saya sebenarnya.. Saya..Ustazah, saya minta
maaf saya tak ada niat nak menipu. Sebenarnya saya tak ada duit nak makan."
jawab budak kecil itu. Kepalanya di tundukkan ke lantai. Suaranya sudah seperti
mahu menangis. "Mak ayah awak tak bagi duit belanja kat awak ke?" soal
ustazah lagi. "Mak dengan ayah saya dah meninggal. Saya tinggal dengan
opah saya ja" jawab Fiyah. "Opah awak tak bagi duit belanja?"
Ustazah mahu mendapatkan kepastian akan keadaan anak muridnya. "Opah saya
tak sihat 2 3 hari ni. Jadi dia tak boleh ambil upah basuh baju. Dia tak ada
duit nak bagi ke saya. Saya nak makan ustazah. Tapi saya tak ada duit. Saya
minum air paip ni sebab nak hilangkan rasa lapar. Air masak yang saya bawak dari
rumah dah habis." jawapan Fiyah membuatkan hati lembut ustazah sayu.
"Mata budak kecil ini menyimpan pelbagai cerita." bisik hati ustazah.
"Jom, ikut ustazah ke bilik guru." tangan Fiyah di tarik untuk jalan
bersamanya. Sepanjang jalan ke tingkat dua di mana terletaknya bilik guru
Sekolah Rendah Kebangsaan Pulau Nyior hanya ditemani bunyi bising
pelajar-pelajar dan guru-guru yang sibuk melakukan hal masing-masing. Sampai
sahaja di tempat milik Ustazah Aisyah dia mengambil sesuatu dari beg plastik. Fiyah
sekadar melihat perbuatan ustazahnya. "Duduklah." arah ustazah. Fiyah
hanya mengikuti apa yang ustazah arahkan seperti lembu di cucuk hidungnya.
"Ni, ustazah ada masak bekal tadi. Ingat nak makan. Tapi ustazah kenyang
sangat. Kamu tolong habiskan ya." pinta Ustazah. Dia kasihan akan keadaan
Fiyah yang terpaksa menahan lapar kerana tiada duit belanja. Diam. Fiyah hanya
melihat ustazah Aisyah. "Lah, kenapa tak makan ni sayang? Makanlah."
pujuknya lagi. Fiyah terus membaca doa makan lalu menikmati bekal ustazah
dengan penuh selera. Ustazah berasa sayu melihat anak kecil ini makan. Dia
terasa terpanggil untuk membantu pelajarnya ini. " Fiyah, kamu datang
sekolah dengan apa?" tanya ustazah pendek. " Saya selalu datang
sekolah dengan basikal tapi hari ni saya jalan kaki saja. Basikal saya pancit."
jawab Fiyah. "Kalau macam tu sebelum balik kamu datang tempat ustazah dulu
ya. Lepas tu ustazah hantar kamu balik." pesan ustazah. "Eh, tak
boleh. Opah cakap saya tak boleh susahkan orang. Opah cakap lagi saya kena
belajar berdikari. Saya tak nak orang hina saya sebab selalu susahkan orang."
anak kecil ini menolak pelawaan Ustazah Aisyah. "Tak apa. Biar ustazah
hantar kamu balik. Kamu nak kerja tak?" Ustazah mula memancing Fiyah.
"Kerja? Kerja apa? Saya boleh bekerja ke ustazah? Saya kan bawah umur
lagi. Mana boleh kerja ustazah." Fiyah sudah selesa dengan ustazah. Sememangnya
anak kecil ini pandai menyembunyikan kesedihannya di sebalik wajah yang ceria.
"Ustazah nak pergi beli barang dapur lepas tamat waktu sekolah. Kamu teman
ustazah tolak troli. Nanti ustazah bagi kamu upah. Ustazah tak larat nak pergi
sorang-sorang." Ustazah sengaja mencipta alasan untuk menghantar Fiyah
pulang. Dia perlu berjumpa dengan opah Fiyah agar dia boleh membantu nasib dua
beranak itu. "Betul ke ustazah? Saya dapat upah kalau teman ustazah? Kita
pergi beli barang kat kedai yang besar tu ke?" Fiyah semakin teruja.
"Betul, kita pergi beli barang kat Tesco Mergong. Kamu teman ustazah ya
sayang?" balas ustazah pendek sambil mengusap kepala Fiyah dengan kasih
sayang. "Okay ustazah! Nanti lepas habis kelas saya datang tempat ustazah.
Yea! Boleh saya bagi upah saya ke opah ustazah. Buat beli barang dapur. Beras
kat rumah pun dah nak habis. Terima kasih ustazah." ujar Fiyah semula. Dia
setuju untuk menemani Ustazah Aisyah. Ustazah Aisyah rasa terharu apabila
mendengar kata-kata Fiyah. Walaupun baru berumur 12 tahun namun Fiyah cukup
matang. Jika anak kecil lain yang sebaya Fiyah pasti akan menggunakan wang
mereka untuk membeli makanan ringan tidak pun mainan. Namun Fiyah hanya
berfikir akan tentang opahnya.
............................................................................................................................................................
"Ustazah
nak beli apa ni? celoteh Fiyah yang menolak troli sambil matanya liar melihat
keadaan sekeliling. "Kita jalan-jalan dulu. Tengok apa yang ada."
Ustazah Aisyah seronok melihat Fiyah yang tersenyum. "Fiyah pernah datang
sini tak?" soal ustazah. "Tak pernah ustazah. Selalu beli barang di
kedai runcit saja. Macam-macam ada kat sini kan ustazah. Sejuk pula tu. Bestnya.
Boleh cerita kat opah nanti." jawab Fiyah. Selesai membeli barang. Mereka pun
berangkat pulang ke rumah Fiyah. "Assalamualaikum opah!" jerit Fiyah
dengan keriangan. "Assalamualaikum opah. Fiyah dah balik dah ni!"
jerit Fiyah sekali lagi memandangkan tiada sahutan dari opah.
"Waalaikumussalam, Eh, cepatnya cucu opah balik." terkejut opah
apabila Fiyah ada di depan pintu sambil tersengih-sengih kerana keseronokan.
"Opah, tu ustazah kat sekolah Fiyah." sambil menunding jari ke arah Ustazah
Aisyah yang sedang mengambil sesuatu dari bonet kereta. "Ustazah Aisyah
yang hantar Fiyah balik sekolah opah. Tapi sebelum sampai rumah, ustazah bawa Fiyah
pergi Tesco. Ustazah minta Fiyah teman ustazah beli barang. Lepas tu ustazah
bagi Fiyah upah RM20. Banyak tu opah. Kita boleh beli barang dapur opah."
sambung Fiyah lagi. Opah sekadar tersenyum mendengar celoteh cucunya. Setelah
mencapai barang yang di beli tadi ustazah menuju ke arah opah dan Fiyah.
"Assalamualaikum mak cik. Apa khabar?" sapa Ustazah Aisyah dengan
mesra. Walaupun ini kali pertama kali mereka bertemu namun kemesraan dapat
dirasakan. "Waalaikumussalam, Alhamdulillah. Mak cik sihat nak. Terima kasih
sebab sudi hantar cucu mak cik ni balik. Susahkan Aisyah je." sambut opah
sambil memeluk ustazah. "Mak cik, ni ada sikit barang dapur. Saya beli
tadi dengan Fiyah." kata-kata ustazah ini membuatkan Fiyah terkejut.
"Tapi tadi ustazah cakap barang tu barang ustazah. Mana boleh bagi kepada
kami." sampuk Fiyah. "Ustazah saja cakap macam tu. Sebab kalau
ustazah bagi tahu perkara sebenar mesti kamu tak nak ikut ustazah balik."
jawab Ustazah Aisyah." Fiyah, ustazah minta maaf. Ustazah tak ada niat nak
tipu kamu. Mak cik, saya minta maaf jika kehadiran saya ini mengganggu mak cik
dan Fiyah. Saya sedih tengok saudara se-Islam saya susah sedangkan saya hidup
senang. Jadi saya terpanggil untuk bantu mak cik sekeluarga. Saya harap mak cik
izinkan saya untuk tolong mak cik dan Fiyah."
terang ustazah atas niatnya yang sebenar. "Ya Allah, jangan cakap macam
tu. Ustazah sudi datang ke teratak buruk mak cik pun dah buat mak cik
bersyukur. Terima kasih sebab sudi nak tolong mak cik. Eh, kenapa kita sembang
kat luar ni. Jom kita masuk. Minta maaf ye nak. Rumah mak cik ni kotor
sikit." balas opah dengan perasaan yang terharu. Fiyah sekadar diam
melihat dua orang dewasa ini berbicara. Selepas masuk ke dalam rumah. Fiyah dan
ustazah segera menunaikan solat Zohor. Manakala opah sibuk membuat air di
dapur. "Ustazah, boleh tak mak cik nak minta tolong ustazah?" soal
opah. Fiyah sudah terlena akibat keletihan. Hanya tinggal opah dan ustazah di
ruang tamu kecil itu. "Apa mak cik? cakaplah. InsyaAllah jika mampu saya
tolong saya akan tolong." jawab Ustazah. "Kalaulah jadi apa-apa ke
mak cik. Tolong jagakan Fiyah untuk mak cik. Dia tak ada sapa-sapa dah kat
dunia ni. Mak ayah dia dah lama meninggal. Mak cik ni dah tua nak. Bila-bila
masa saja malaikat datang jemput mak cik." pinta opah. "InsyaAllah
mak cik. Saya akan jaga Fiyah." Ustazah menerima tanggungjawab itu dengan
sepenuh hati. "Alhamdulillah, lega mak cik dengar. Kalau Allah nak cabut
nyawa mak cik pun mak cik rela." jawab wanita tua itu sambil menepuk paha
Ustazah Aisyah.
............................................................................................................................................................
"Perhatian
kepada pelajar bernama Awfiyah binti Musa. Anda di kehendaki datang ke pejabat
sekolah sekarang juga. Ulang suara. Perhatian kepada pelajar bernama Awfiyah
binti Musa. Anda di kehendaki datang ke pejabat sekolah sekarang juga. terima
kasih." Pengumuman bergema seluruh kawasan sekolah. Pembelajaran masa kedua
sedang berlangsung. Fiyah yang sedang khusyuk membuat latihan matematik tidak sedar
akan namanya di panggil. "Fiyah, awak tak dengar ke? Nama awak dalam
pengumuman tadi. Cepat pergi pejabat. Ada hal penting agaknya." Puan
Suraya memaklumkan semula kepada Fiyah. "Haa? Nama saya? Baik saya pergi
sekarang." balas Fiyah sambil membuang habuk pemadam yang penuh di atas
meja. Sesampai di pejabat Fiyah melihat Ustazah Aisyah sedang membicarakan
sesuatu dengan guru besar." Assalamualaikum, cikgu." sapa Fiyah.
"Waalaikumussalam Fiyah. Fiyah, cikgu minta kamu sabar ya dengan apa yang
cikgu nak cakap ni. Sebenarnya opah kamu ada kat hospital. Dia tengah tenat.
Dia kena tergelincir jatuh ketika mencari pucuk paku kat belakang rumah
kamu." Guru besar memaklumkan perkara sebenar kepada anak kecil itu. Opah
yang tergelincir jatuh kerana memijak batu yang licin. Anak kampung yang turut
mencari pucuk paku terjumpa opah terbaring di atas tanah tanpa sedarkan diri.
"Opah." hanya itu yang di sebut oleh Fiyah. Air mata mula bertakung
dan mengalir dari mata anak kecil itu. "Sabar ya sayang. Jom kita pergi ke
hospital." Sesampai sahaja di Hospital Sultanah Bahiyah. Ustazah terus
membawa Fiyah ke wad ICU. Apabila Fiyah melihat opahnya terbaring kaku di atas
katil dia terus berlari lalu memeluk opahnya. "Opah, bangunlah. Jangan
tinggalkan Fiyah. Nanti sapa nak jaga Fiyah. Fiyah minta maaf Fiyah selalu
susahkan opah. Fiyah janji Fiyah akan jadi budak baik. Fiyah akan ikut cakap
opah." rayu anak kecil itu. Mengalir air mata Ustazah apabila mendengar
kata-kata Fiyah. "Sabar ya sayang. Kita pergi solat. Kita doakan semoga
opah Fiyah sedarkan diri. Jom sayang." Ustazah cuba menenangkan Fiyah. Fiyah
sekadar mengikuti apa yang ustazah katakan. "Fiyah, doa banyak-banyak tau
sayang. Minta Allah sembuhkan opah. Dah, jangan nangis. Anak murid ustazah ni
kena kuat. Baru Allah sayang." pujuk ustazah lagi. Namun tidak ada
kata-kata yang mampu Fiyah keluarkan. Allah lebih menyayangi opah. Tepat jam
4.50 petang opah telah menghembuskan nafas terakhir. Fiyah melihat sendiri
pemergian opahnya. Maka luluhlah hati anak kecil ini apabila insan terakhir
yang dekat dengan dirinya pergi buat selama-lamanya. Dengan tanggungjawab yang
telah di berikan kepada ustazah. Dia telah menempatkan Fiyah di Teratak Iman
iaitu rumah anak-anak yatim yang Ustazah Aisyah bangunkan bersama suaminya.
Bermulalah kehidupan Aisyah di sana.
...........................................................................................................................................................
12 tahun kemudian
"Fiyah,
macam mana program anak-anak solehah kat Teratak Iman tu? Jadi ke?" soal
Syafiqah rakan sekerja Fiyah di Teratak Iman. Berkat usaha gigih Fiyah telah
berjaya mendapat ijazah sarjana muda perakaunan di Universiti Utara Malaysia. Namun
rasa cinta yang kuat menyebabkan dia membuat keputusan untuk menabur bakti di rumah anak yatim di
mana beliau membesar. "Alhamdulillah, kita dah dapat tajaan dari HPA Sdn
Bhd. Jadi pelajar dari sekolah rendah sekitar Alor Star akan turut serta dengan
anak-anak kat sini. Fiqah tolong telefon pihak sekolah untuk pastikan berapa
orang. Supaya kita boleh urus penginapan dan makanan." balas Fiyah dengan
penuh semangat.
............................................................................................................................................................
10 tahun yang lalu
"Hai,
saya Syafiqah. awak nama apa?" sapa pelajar di Teratak Iman itu dengan
mesra. Fiyah sekadar memandang kosong. Dia yang masih lagi tidak dapat menyesuaikan
diri dengan persekitaran baru ini. Walaupun sudah seminggu dia tinggal di rumah
ini namun dia masih bersendiri. Ustazah Aisyah sendiri sudah tidak tahu
bagaimana untuk memujuk anak kecil ini. "Awak, kenapa duduk sini sorang-sorang. Jomlah kita pergi main kat
kolam ikan." ajak Syafiqah lagi. Namun tiada jawapan daripada Fiyah.
"Awak tak nak kawan dengan saya ke? Tak apalah kalau macam tu."
akhirnya Syafiqah mula mengorak langkah untuk beransur pergi. "Nanti,
duduklah sini. saya nak kawan dengan awak. Fiyah mula untuk berbicara.
"Nama saya Awfiyah. tapi orang panggil Fiyah." kata Fiyah lagi.
"Oo. Kenapa awak masuk sini? Mak ayah awak dah tak ada ke?" soal
Syafiqah untuk mengenali Fiyah dengan lebih mendalam. "Mak ayah saya dah
lama tak ada. Opah saya baru meninggal minggu lepas. Ustazah Aisyah yang bawa
saya tinggal kat sini. Awak pun macam saya juga ke?" kali ini giliran Fiyah
pula bertanya. "Saya tak pernah jumpa mak ayah saya. Orang cakap mak saya
tinggalkan saya tepi tong sampah. Lepas itu ada orang kutip dan serahkan saya
kat Ustazah Aisyah." jawab Syafiqah dengan tenang. Terkejut Fiyah apabila
mendengar cerita Syafiqah. Dia mula sedar bahawa nasibnya lebih baik daripada
sahabatnya itu. Dia bersyukur kerana mak, bapak dan opah sayang kepadanya. Dan
sejak dari itu Fiyah sudah kembali ceria seperti biasa. Ustazah Aisyah gembira
melihat perubahan anak muridnya itu.
............................................................................................................................................................
"Anak-anak
yang cikgu sayangi. Kita hidup kat bumi Allah ni perlu ada keredhaan dari Allah
S.W.T. Tapi nak dapat redha Allah kena dapatkan redha mak ayah dulu. Hormat mak
ayah. Buat baik kepada mereka. Doakan mak ayah kita. InsyaAllah kita akan
menjadi anak yang soleh dan solehah. Untuk anak-anak yang dah tak ada mak ayah
jangan sedih. Ini dugaan dari Allah. Dia sayangkan kita sebab itu kita di uji
sebegini. Opah cikgu pesan kalau kita nak jumpa mak ayah kita kat syurga. Kita
kena jadi anak yang soleh dan solehah. Untuk jadi soleh dan solehah kita kena
ikut semua perintah Allah." Fiyah memberikan ceramah pendek untuk peserta
program Kem Anak Soleh dan Solehah. "Cikgu nak anak-anak janji dengan
cikgu yang lepas ni anak-anak akan sentiasa berbuat baik dengan mak ayah
anak-anak. Janji?" sambung Fiyah lagi. "Janji cikgu!" begitu
gamat suara anak-anak peserta kem tersebut. Fiyah berasa gembira dan lapang
dada kerana hidupnya kini lebih berharga. Dia sememangnya amat berterima kasih
kepada Ustazah Aisyah yang begitu banyak membantunya. Setiap nasihat yang
pernah di berikan oleh opah di jadikan sebagai pembakar semangatnya untuk
meneruskan perjuangannya di bumi Allah yang penuh berkat ini.
sekian lama beralun sepi
datang ombak menghakis pergi
sepi tinggal dalam mimpi
kisah indah kekal abadi
indah hidup kerana cinta
cinta Ilahi tak akan terhenti
selagi iman terkesan di dalam hati
~SEKIAN~
ini merupakan cerpen yang saya tulis untuk pertandingan cerpen di Universiti Utara Malaysia. semoga cerpen yang tak seberapa ini memberikan manfaat kepada kita semua. InsyaAllah =)